Sebut pasal bajet, sudah pasti cukai akan menjadi tumpuan utama.
Perunding Pengurusan PricewaterhouseCoopers Taxation Services Sdn Bhd (PwC), Azura Othman, menjangkakan kerajaan akan memberi banyak insentif cukai bagi mendorong pertumbuhan daya saing negara berbanding negara lain di rantau ini.
“Walaupun kerajaan sudah mengumumkan cukai korporat turun kepada 26% tahun depan, saya yakin kadar berkenaan akan diturunkan lagi. Kadar cukai semasa adalah lebih tinggi berbanding kadar cukai dikenakan negara jiran. Singapura mengenakan cukai korporat pada kadar 20%, Taiwan 25% manakala Hong Kong pula pada 17.5%. Cukai korporat Malaysia tidak berubah sejak 1998."
Tahun lalu kerajaan memberi banyak insentif untuk menggalakkan pertumbuhan sektor kewangan dan perbankan Islam negara ini, namun beliau yakin tahun ini kerajaan akan memberi perhatian bagi mendorong kemajuan industri takaful.
“Peranan sektor kewangan dan insurans takaful lebih menjurus sebagai pengurus pelaburan dan setiap hasil daripada keuntungan yang dijana akan dipulangkan kepada pelanggan. Sebaliknya dalam sistem insurans konvensional, pulangan tidak perlu dikembalikan kepada pelanggan dan diserap oleh syarikat.Di sini wujud keadaan tidak seimbang yang mungkin akan diberi perhatian oleh kerajaan dalam pengumuman bajet kali ini dengan menyediakan garis panduan baru yang lebih tepat.”
Sementara itu, beliau berharap kerajaan akan meninjau semula beberapa peruntukan ditawarkan kepada korporat seperti memberi kelonggaran untuk mendapatkan potongan cukai bagi menjalankan perniagaan.
Satu lagi bidang yang perlu diberi perhatian dalam Bajet 2008 adalah insentif kepada dividen dana amanah pelaburan hartanah (REIT), kerana insentif ditawarkan ketika ini tidak mendorong daya saing sektor berkenaan, berbanding negara jiran.
Mengenai cukai individu pula, Azura yakin kerajaan akan meninjau kemungkinan mengurangkan cukai pendapatan peribadi memandangkan kadar cukai yang dikenakan ketika ini iaitu 28 peratus bagi lingkungan pendapat melebihi RM250,000, masih tinggi.
Beliau juga berharap, kerajaan akan meluaskan manfaat penerima pelepasan bagi kadar cukai dikenakan kepada pembeli rumah melebihi RM180,000 yang ditetapkan ketika ini, manakala duti setem dikurangkan atau dihapuskan terus, selari dengan pendekatan di negara maju.
Petikan dari artikel yang disiarkan buat pertama kalinya di Berita Harian, 4 September 2007